Wednesday, June 17, 2015

Ao Nang, Krabi Mencipta Kelainan - konvoi berkereta ke Krabi




Masih relevan dan sesuai sebagai tempat berbulan madu atau bercuti bersama keluarga Ao Nang, Krabi semestinya perlu dilawati dan dijadikan salah satu tempat pilihan untuk kembara luar negara. Kebanyakan pelancong menggunakan perkhidmatan udara untuk sampai ke Krabi, Thailand. Tetapi bagi saya sekeluarga, konvoi berkereta semasa cuti persekolahan baru-baru ini mencipta kelainan dalam kembara luar negara. Bagi mereka yang ingin menggunakan jalan darat ke Ao Nang Krabi, pelancong boleh menggunakan laluan jalan darat dengan menggunakan pintu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam (Kedah) – 343KM, Padang Besar (Perlis) – 364KM atau Wang Kelian (Perlis) – 335KM. Jika ingin menjimatkan masa berdasarkan laluan yang telah dicuba pelancong boleh menggunakan laluan Wang Kelian – Satun – Trang – Krabi kerana jaraknya 335KM malah lebih singkat berbanding menggunakan laluan sempadan Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah. Bagi pelancong yang memilih jalan darat sebagai laluan ke Ao Nang Krabi, anda dikehendaki mengisytiharkan kereta yang hendak di bawa di kaunter imigresen Thailand. Dokumen yang diperlukan adalah dokumen asal atau salinan geran kereta di samping passport pemilik kereta. Sila pastikan minyak kenderaan secukupnya kerana harga minyak Ron95 di Thailand lebih mahal berbanding Malaysia. Perjalanan ke Ao Nang, Krabi mengambil masa lebih kurang  4 jam 30 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju. Bagi pelancong yang baru pertama kali ingin menjejaki salah satu tempat peranginan negara gajah putih ini, boleh memilih untuk menginap di kawasan pantai Ao Nang. Perjalanan ke Ao Nang Krabi dengan menggunakan jalan darat memberi seribu satu pengalaman dan pemandangan yang berbeza apabila laluan yang digunakan menyusuri hutan hujan tropika dan berbukit bukau. Terasa sejuk mata memandang sambil memandu apabila melihat kehijauan pokok-pokok hutan liar dan kadangkala disulami dengan pokok getah yang dimiliki oleh penduduk tempatan sepanjang perjalanan menuju ke Ao Nang. Hari yang agak bertuah apabila kami juga berpeluang melihat binatang yang menjadi mercu tanda Thailand iaitu Gajah liar di tepi jalan semasa menuju ke Ao Nang. Setelah 4 jam  lebih memandu perasaan letih hilang digantikan dengan perasaan yang semakin teruja untuk eksplorasi Krabi apabila pintu gerbang ‘Welcome to Krabi’ sudah kelihatan. Persekitaran Ao Nang yang berbukit bukau dan berpantai menjadi penghubung kepada pulau-pulau lain sekitarnya seperti Chicken Island, Poda Island, Phi Phi Island, Tup Island dan pulau-pulau yang lain.

Makanan
Sepanjang 3 hari 2 malam berada di Krabi, pemilihan makanan tidak sukar kerana terdapat kawasan penduduk di sekitar Ao Nang yang beragama Islam. Kalau nak diikutkan terdapat pelbagai kedai makan di tepi jalan Ao Nang yang menawarkan pelbagai juadah makanan sama ada waktu sarapan pagi, tengah hari mahupun makan malam. Tetapi bagi pelancong yang beragama Islam pemilihan kedai perlu dititikberatkan. Bagi yang terdapat keraguan, 500 meter dari laluan pantai terdapat sebuah masjid dan kawasan sekitarnya terdapat pelbagai restoran makanan Muslim halal. Harga yang ditawarkan sesuai dengan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Harga semangkuk Tom yam sekitar 100 baht.  Bagi pelancong yang menyukai makanan laut boleh dikatakan semua restoran menawarkan pelbagai jenis ikan, udang, ketam untuk dimasak berdasarkan pemilihan masakan yang telah disediakan di dalam menu makanan. Sesi jual beli tidak terlalu sukar semasa membeli makanan kerana kebanyakannya peniaga atau pekerja yang beragama Islam datang dari Wilayah Pattani atau Satun dan boleh berinteraksi dengan menggunakan bahasa Melayu.  Selain itu, semasa waktu sarapan pagi terdapat juga pulut mangga dengan harga 20 baht dan nasi ‘kawmok kai’ atau dikenali sebagai nasi kuning berempah ayam dengan harga 50 baht.

Penginapan dan kenderaan awam
Apabila membawa kenderaan sendiri sudah pasti masalah tempat letak kereta diutamakan. Hal ini kerana kebanyakan hotel di sekitar Ao Nang tidak mempunyai tempat letak kereta. Pastikan pemilihan hotel sesuai dengan keadaan semasa melancong. Bagi yang membawa kenderaan sendiri hotel yang dipilih perlu mempunyai tempat letak kereta supaya urusan keluar masuk lebih menyenangkan.  Saya dan keluarga memilih Ao Nang Beach Resort yang bertentangan dengan pantai Ao Nang di mana harga bermula dari 700 baht. Parking awam di jalan Ao Nang tidak dikenakan bayaran tetapi tempatnya adalah terhad. Bagi saya dan keluarga kami parkir kereta di hotel dan menggunakan kenderaan awam tut-tut untuk ke destinasi pilihan. Harga tut-tut sekitar 40 baht seorang berdasarkan jarak laluan yang hendak dituju.



Aktiviti dan tempat menarik
Thailand terkenal dengan pelbagai tempat tarikan seperti gua kerana bentuk muka buminya berbukit bukau, kolam air panas, air terjun selain daripada pulau-pulau yang cantik. Menjadi lebih mudah apabila membawa kenderaan sendiri kerana dapat singgah di beberapa tempat menarik tumpuan pelancong tempatan mahupun asing terlebih dahulu sebelum sampai ke destinasi. Sepanjang jalan dari sempadan Malaysia ke Ao Nang, Krabi kami sempat singgah di Gua Le Khaokob dan Emerald Pool. Gua Le Khaokob ini memerlukan pelancong menyewa sampan untuk masuk ke dalam gua. Harga untuk sebuah sampan 900 baht untuk menyusuri sungai di bawah bukit dan melihat struktur gua batu kapur ini. Sebuah sampan bolah dinaiki enam orang berdasarkan bentuk fizikal seseorang. Dalam jarak 70KM menuju ke pantai Ao Nang satu lagi tempat yang menarik perhatian pelancong ialah Emerald Pool. Bayaran yang dikenakan untuk pelancong asing sebanyak 200 baht dan kami perlu berjalan kaki sejauh 800 meter untuk sampai ke kolam yang menjadi tumpuan dari kaunter bayaran masuk.







Masuk hari kedua di Ao Nang, Krabi, tidak sah jika ke Ao Nang, Krabi tidak melakukan aktiviti Island Hoping dan menaiki gajah. Hari kedua kami memilih aktiviti tersebut dengan membeli pakej yang terdapat di deretan kedai yang menawarkan pelbagai aktiviti dengan harga yang berbeza. Bagi island hoping pelancong boleh memilih untuk menggunakan bot laju atau long tail boat. Bagi saya dan keluarga kami memilih untuk  menggunakan long tail boat dengan harga bagi seorang 350 baht termasuk makan tengah hari yang dihidangkan secara buffet. Harga tersebut juga termasuk dengan peralatan snorkeling. Sebanyak lima pulau yang mempunyai keunikan yang tersendiri dibawa oleh pemandu pelancong. Pulau yang dibawa untuk melakukan aktiviti snorkeling adalah Tup Island, Poda Island, Chicken Island dan beberapa pulau lagi. Setiap pulau mempunyai daya tarikan seperti kelainan hidupan laut seperti ikan, rumpai laut dan  batu karang yang berwarna-warni.  Kami dibenarkan oleh pemandu pelancong untuk meletakkan roti di permukaan lautan bagi menarik perhatian ikan yang mempunyai pelbagai warna  dan saiz yang mendiami dasar laut.







Selain daripada melakukan aktiviti Island Hoping, kami sekeluarga juga melakukan aktiviti menaiki gajah yang tidak pernah saya lakukan selama ini. Ini pengalaman pertama menaiki gajah yang telah dijinakkan. Safari Elephant Trekking merupakan salah satu tempat bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti menaiki gajah. Jarak dari pantai Ao Nang sekitar 5KM. Bagi aktiviti ini kami tidak menggunakan agensi untuk sampai ke sini. Hanya mengambil tut-tut dan beritahu tempat yang ingin dituju. Harga tut-tut yang dikenakan sebanyak 400 baht bagi sebuah tut-tut untuk perjalanan pergi dan balik yang boleh dinaiki 4-5 orang dewasa. Harga yang dikenakan adalah sebanyak 350 baht seorang untuk menaiki gajah selama 30 minit. Oleh kerana bentuk fizikal gajah yang begitu besar pelancong perlu menaiki gajah mengikut pelantar yang disediakan. Laluan yang digunakan agak mencabar dengan menyusuri hutan berbukit bukau dan laluan sungai kadangkala berasa tidak keseimbangan berlaku akibat ketakutan.



Pada sebelah malam aktiviti ke Krabi Night Market menjadi tumpuan. Dibuka pada setiap hujung minggu dengan menjual pelbagai barangan seperti pakaian, makanan dan hasil kraf tangan atau seni penduduk tempatan. Saya sempat membeli potret sendiri yang dilakar oleh salah seorang penjual dengan harga 100 baht sebagai tanda kenang-kenangan



Deretan kedai Ao Nang Street
Terdapat pelbagai kedai sepanjang jalan Ao Nang. Kedai-kedai cenderamata yang menjual beg, rantai kunci fridge magnet dan pelbagai seni kraf tangan tempatan.  Rata-rata kedai di kawasan ini dibuka seawal 8 pagi jam Thailand dan tutup jam 12 tengah malam. Harga satu fridge magnet sekitar 40 baht dan sudah pasti jika di beli dengan kuantiti yang lebih banyak harganya lebih murah. Proses tawar menawar diperlukan dalam proses jual beli. Bagi saya semasa mem

beli di kedai-kedai ini saya menawarkan terlebih dahulu 50% daripada harga yang ditawarkan oleh penjual. Hasil seni kraf tangan penduduk Thailand boleh dibeli sebagai buah tangan dan sebagai tanda kenang-kenangan.


Perkara penting jika membawa kenderaan sendiri:

  • Pastikan anda membawa geran kereta salinan atau asal bersama passport pemilik kereta tersebut, jika membawa kenderaan individu lain selain daripada pemilik kenderaan pastikan anda membawa sekali surat kebenaran membawa kenderaan.
  • Pos Imigresen Wang Kelian (Buka: 7pagi, Tutup: 7 petang), Padang Besar (Buka: 6 pagi, Tutup 10 malam), Bukit Kayu Hitam (Buka: 6 pagi, Tutup: 12 malam) – GMT 8 Waktu Malaysia
  • Pastikan memilih hotel yang mempunyai tempat letak kenderaan dan pastikan betul-betul parkir tersebut tidak terhad untuk beberapa buah kereta sahaja.
  • Minyak pastikan penuh – minyak di Thailand Ron95 RM3.40 (9 Jun 2015)
  • Pemilihan hotel – satu bilik dua orang, pastikan hanya masuk ke bilik dua orang sahaja. Kalau lebih akan dikenakan caj RM80 untuk satu kepala bagi satu malam melainkan kanak-kanak. Pihak hotel akan meminta semua passport pelancong yang akan bermalam.

Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan, boleh email saya di alamat email ini zwairy86@gmail.com

6 comments:

  1. Mcm mana surat kebenaran utk pemilik kenderaan org lain??

    ReplyDelete
  2. Insyaallah ke krabi minggu depan . thanks for the info

    ReplyDelete
  3. Sangat membantu...Thank you☺️👍🏻

    ReplyDelete
  4. Sangat membantu...thank you☺️👍🏻

    ReplyDelete

Comment