Sunday, January 06, 2019

Jelajah Nusa Penida 2 hari 1 malam

Nusa Penida merupakan sebuah pulau yang terletak dalam Wilayah Pulau Bali. Perjalanan dari Jeti Sanur ke Nusa Penida mengambil masa 45 hingga 60 minit dengan menaiki bot laju. Saya membuat persediaan perjalanan sebulan sebelum  bertolak ke Negara Kesatuan Republik Indonesia. Boleh dikatakan setiap tahun, Indonesia merupakan salah satu negara yang wajib dilawati oleh saya. Maka tidak hairanlah jika rakan-rakan melontarkan kata-kata seperti "Pulang ke Kampung ke tu?", "Balik rumah nombor dua" dan sebagainya. Saya akui. Negara yang penuh dengan pelbagai adat dan budaya ini wajib dilawati. 

Berbalik kepada Nusa Penida. Pulau ini mempunyai kira-kira 46 ribu penduduk. Tidak mempunyai jalur jalanraya seperti Malaysia, di sini hanyalah jalan raya sebesar jalan kampung jika disamakan dengan keadaan di Malaysia. Setelah masuk ke dalam kereta Toyota Rush yang ditempah bersama pemandu, saya bertanyakan soalan kepada bapak supir, "Pak, lama lagi mau ke jalan yang lebih besar?'. Beliau membalas, "tiada mas, hanya jalan seperti ini". Saya menelan air liur seketika. Bermonolog dalaman, "hadap sahaja". Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang berada di sana, penduduk majoritinya adalah nelayan dan membanting tulang berbakti kepada tanah. Hasilnya dijual di pasar. 

Saya mengambil pakej dua hari satu malam di Pulau Nusa Penida. Jika tidak mahu mengambil pakej, pelancong boleh menyewa motosikal. Tapi saya tidak sarankan untuk menyewa motosikal. Jalannya berlubang bagaikan kawah gunung berapi. Ada saja bule (Mat Salleh) yang jatuh semasa melalui jalan ini. 

Seawal jam lapan pagi kami sudah terpacak di Jati Sanur untuk mengambil bot ke Nusa Penida. Sampai sahaja di Nusa penida, kami disambut oleh bapak (tidak ingat namanya). Beliau telah merencanakan beberapa tempat untuk dilawati. 

Jelajah Hari 1:
Lokasi : Goa Giri Putri, Atuh Beach, Pulau Seribu, Teletubbies Hill

GOA GIRI PUTRI

Turun daripada kereta saya terlintas difikiran, tempat ini hanyalah sama seperti pura yang berada di Pulau Bali. Disuruh untuk naik tangga dan katanya ada pura di atas. Ku turutkan sahaja apa yang disuruh oleh supir. Naik tangga satu pertiga daripada tangga batu caves rasanya sampailah di atas bukit. Pandang kiri dan juga kanan. Tiada pura kelihatan. Yang ada hanyalah bapaka-bapak yang berpakaian rasmi adat budaya hindu. Berborak sambil minum air mineral yang diberikan oleh mereka. Selesai minum, salah seorang bapak bertanyakan kepada kami, "sudah bersedia?". Dalam hati saya, "hah, sudah.. apa yang bapak ni nak suruh buat". Direnjis air, dan disuruh masuk ke dalam lubang kecil celahan batu. Kali ini tidak tertelan air liur seketika. Tetapi terdiam kaku. Rupanya pura berada di dalam satu gua, seperti gua kelam di Perlis. Cuma pintu masuk kecil tetapi dalamnya luas. Saya cuma bayangkan orang yang bertubuh besar ingin masuk sahaja. Lekat kat batu, jadi batu belah batu bertangkup la rasanya.. 


Saya dan rakan-rakan perlu memakai Sarong untuk masuk. Sewa kain dalam RP5000. Pesanan kepada mereka yang nak datang ke Nusa Penida, jika tempat ini tersenarai, fikir-fikirkanlah. Kalau taknak pergi, cakap ja pada supir untuk skip. Lebih baik juga untuk teruskan perjalanan berbatu-batu jauhnya yang lain. 

ATUH BEACH, PULAU SERIBU

Selesai melawat Pura sambil berkain sarung, saya teruskan perjalanan ke Pantai Atuh. Untuk sampai ke tempat ini mengambil masa satu jam perjalanan. Jalan kecil sebagaimana yang saya dah terangkan di pendulu cerita. Kalau ada kenderaan arah bertentangan, kita sebagai penumpang perlu mengucap terlebih dahulu dan supir perlu belajar mengalah. Jalur jalan raya ada jalan dah bertar, ada yg belum, Jadi bertahanlah dalam kereta. Penumpang di belakang melompat bagaikan bot melalui ombak musim monsun. Bersedia dengan ubat-ubatan bagi mereka yang tidak tahan dengan goyangan kiri, kanan, atas dan bawah. 

Setelah supir menekan break dan meletakkan gear dalam mode (P) parking, perkataan pertama yang keluar adalah MasyaAllah. Serius cantik! Ya. Sangat cantik. Tidak hairanlah, Bali merupakan antara 15 pulau terbaik di dunia pada tahun 2018. Pulau pertama yang tersenarai adalah Pulau Jawa kerana terdapat satu Kota Warisan Dunia UNESCO iaitu Candi Borobudur. Yang kedua Bali dan ketiga adalah Lombok. Alhamdulillah. Ketiga-tiga tempat ini saya sudah lawati. Yogyakarta tiga kali saya ke sana, manakala Bali dan Lombok masuk kali kedua. 



Berbalik kepada Pantai Atuh, pelancong perlu naik dan juga turun. Seperti biasa, naik turun merupakan perkara yang paling senang. Sedikit sukar apabila mahu naik semula, mengucap dan berzikir supaya urusan dipermudahkan. 

TELETUBBIES HILL

Selepas naik kerata, saya merasakan diri saya mengalami kesusutan lemak hasil daripada pendakian bukit untuk melihat pemandangan yang membuatkan mata tidak berkedip. Tempat seterusnya, bertolak ke Teletubbies Hill dari Atuh Beach. Perjalanan mengambil masa 30 minit sahaja. Kenapa ia dipanggil teletubbies sebab bukitnya bulatbulat sama seperti cerita kartun. Selalunya bukit berbentuk  segitiga. Kalau dulu masa sekolah, cikgu suruh lukis pemandangan kampung sayam sudah semestinya bukit segitiga adan matahari, sepohon pokok bersama rumah kayu. Lukisan yang hodoh pada ketika itu mempunyai nilai sentimental jika diingat pada masa dan ketika ini. 


MERTA SARI

Hari pun dah petang, supir terus menghantar saya dan rakan-rakan ke sebuah penginapan yang comel dan cantik. Mereka memanggil banglo. Selepas di temubual, kata wanita nusa penida penginapan ini baru sebulan beroperasi. Bilik air macam satu lagi bilik untuk tidur. Bersihkan diri, makan dan top-up tenaga untuk keesokan hari. Servis dan kemudahan yang disedikan saya bagi lima bintang. 


Jelajah Hari 2:
Lokasi : Klingking Beach, Crystal Bay, Angle's Billabong, Broken Beach

KLINGKING BEACH

Hari kedua terus bermula seawal jam 8 pagi. Maka bermulalah ekpedisi melompat-lompat dalam kereta Toyota Avanza. Saya sarankan yang mengandung rasanya jangan tiba-tiba mengidam untuk pergi. Kalau nak juga pergi, ambil insurans premium untuk membiayai kos bersalin di Bali. 



Pemandangan seperti biasa, ada momen 'Wow!'. Pemandangan di sini saya boleh analogikan seperi orang yang kita sayang memberikan sesuatu secara surprise. Terkejut dan kita menghargai apa yang dicipta olehNya.  

BROKEN BEACH, ANGLE'S BILLABONG

Seusai melihat pemandangan di Klingking, saya dan rakan-rakan sempat juga mengeluarkan peluh kerana membantu supir yang mengundur kereta sampai tersangkut di celah batu. Nak ketawa depan-depan rasa macam terlalu biadap, jadi ketawa dalam hati sajalah. 



Lagi sekali, jalan ke sana sangat mencabar. melompat lagi. Tapi yang ni dalam kadar yang agak keterlaluan.  Kombinasi melompat dan terhuyung hayang dalam kereta. Saya sarankan pergi seawal pagi. Orang tidak seramai tengah hari dan senang untuk mengambil gambar. Angle's Billabong dan Broken Beach berdekatan. 

Selesai melawat Broken beach, supir terus membawa kami ke jeti untuk pulang ke pulau bali. Apa yang boleh saya katakan, with a rich culture and plenty of natural sights in its pocket, Indonesia is a gold mine for many adventure-loving travellers.

Jadi apa tunggu lagi.. tempah tiket sekarang! 


Pakej Jelajah 2 hari :
RP700000/pax (Local)
RP850000/pax (International) Pakej termasuk tour, 2x lunch, 2x Banglo (1 banglo utk 2 org), breakfast di banglo, minum petang, return boat.




No comments:

Post a Comment

Comment